Selesai temujanji dengan Audiologis, kami diberi tarikh baru untuk temujanji yang seterusnya. Di dalam kereta, masing-masing senyap tak berkata. Sunyi seribu bahasa. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Air mataku tak henti mengalir lagi...
" Abang, macamana ni. Apa
nasib anak kita nanti. Macamana kita boleh tak menyedari anak kita ada yang tak
kena? " sedu sedanku masih bersisa.
" Abang...macamana nak
cerita pada adik beradik pasal Uzma ni? Aban....cakaplah....." suamiku
masih membisu.
" Tadi, Cik Ellin cakap
masih ada masa untuk bantu Uzma. Tapi dia kena pakai alat bantu dengar. Kedua
belah pulak tu. Mana nak cari duit? Walau bagaimanapun, abang kena ikhtiar
jugak. Ni masa depan anak kita. Tak nak dia ketinggalan walau dia dah tak sama
macam orang lain." air mata masih mengalir laju, bila kusebut dan
bayangkan perkataan 'tak sama seperti orang lain', makin laju lagi air mata
ini.
" Abang telefon Mek dan
Ayah, bagitahu apa keputusan ujian tadi. Mesti Mek menunggu-nunggu. Lepas tu
bagitahu yang lain juga "
Abah Uzma nampak lebih tenang
dan seperti tiada apa. Kadang-kadang naik geram juga dengan sikap orang lelaki.
Macam tiada perasaan.
Berita ini juga kusampaikan ke
kampungku. Mak cuma minta kami bersabar dan redha apa yang Allah telah tentukan.
Cuma, mak minta kami bersyukur, sekurang-kurangnya, Uzma tidak sakit terlantar.
Masih boleh bergerak aktif seperti anak biasa, tak nampak beza.
Apa yang mak cakap masih tidak
berbekas dihati ini. Hati masih terasa hiba dan sedih. Sedih memikirkan nasib
Uzma kelak. Sedih memikirkan, telinga Uzma bermasalah. Bermasalah bagaimana,
akupun tidak faham maksud sebenar penerangan tadi.
Kalau anak kami pekak, katakan
saja pekak. Tapi bila disebut perkataan bermasalah pendengaran. Banyak
persoalan yang bermain di fikiran saat ini. Uzma perlu memakai alat, katanya.
Adakah, alat tersebut praktikal untuk Uzma?
Kemungkinan kami juga perlu
belajar bahasa isyarat. Susahnya keadaannya nanti. Satu keluarga perlu faham.
Jika tidak, bagaimana hendak berinteraksi dengan Uzma, kelak? Nampaknya segala
tumpuan perlu diberi kepada Uzma. Semua jadual belajar anak-anak lain, perlu
dirombak, agar sesuai dengan Uzma.
Siapakah yang perlu ku
dahulukan nanti? Adakah abah Uzma akan menyokong dan membantuku? Bagaimana jika
dia lepas tangan dan membiarkan aku uruskan Uzma sendirian?
Letih.
Bagaaimana pula dengan
kewangan? Mampukah kami? Anak-anak yang masih ramai bersekolah, masih perlu
diberi perhatian? Bagaimana hendak menjaga hati semua orang? Sudahlah
sekarangpun, masa sudah dipenuhi dengan jadual khusus untuk kakak-kakak dan
abang Uzma.
Seminggu dua ini, aku hanya
duduk termenung. Buat kerjapun sudah tidak bertenaga. Melihat Uzma bermain
sendirian, hati ini bagai dirobek-robek. Pedih hati ini bila mengingatkan nasib
Uzma.
Lebih kurang tiga bulan, hati
ini terasa kosong dan kabur. Terasa masih tiada jalan yang kami nampak boleh
membantu Uzma. Masa kuhabiskan dengan bertanyakan kawan-kawan dan
sahabat-sahabat dari jauh, yang mungkin mempunyai masalah yang sama seperti
kami. Tapi semuanya hampa. Semuanya tiada pengalaman mempunyai anak seperti
ini.
Suami dan anak-anak seakan
mengerti keadaanku saat-saat ini. Aku perlu ruang untuk mencari kekuatan diri.
Perlu masa untuk merancang apa keperluan Uzma kelak. Segala persoalan-persoalan
ini akan kutanyakan kembali kepada pihak hospital. Mereka perlu ada jawapan
untuk setiap persoalan yang bermain difikiranku sekarang.
Semoga semuanya terjawab nanti.
Bimbang jika terlupa, aku tuliskan semuanya di dalam buku. Semuanya.
Satu pagi, abah Uzma menegurku.
" Sudah-sudahlah fikir
yang bukan-bukan. Orang hospitalpun belum terangkan lagi pasal Uzma . Dah
dengar, bolehlah fikir apa yang patut. Tak pasal-pasal dah sakit kepala
memikirkan benda yang belum pasti. Uzma bukan sakit. Elok saja nampak .
Kita sabar dulu. "
Aku cuma diam membisu.
Apa yang kudengar tadi, seperti angin lalu, tidak berbekaspun. Pada waktu dan
ketika ini, aku tak perlukan kata-kata nasihat lagi. Semangatku masih kelaut...
Hanya Allah sahaja yang
kuperlukan saat-saat ini. Doa-doa kupanjangkan sedikit kali ini khusus untuk
Uzma dan diri sendiri agar lebih kuat untuk menghadapinya. Aku perlukan
kekuatan yang luar biasa untuk hadapi setiap jalan-jalan sukar kelak.
Aku percaya, akhirnya aku perlu
pasrah juga dengan ujian ini.
No comments:
Post a Comment