Tuesday, May 28, 2019

PASRAH



Selesai temujanji dengan Audiologis, kami diberi tarikh baru untuk temujanji yang seterusnya. Di dalam kereta, masing-masing senyap tak berkata. Sunyi seribu bahasa. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Air mataku tak henti mengalir lagi...

" Abang, macamana ni. Apa nasib anak kita nanti. Macamana kita boleh tak menyedari anak kita ada yang tak kena? " sedu sedanku masih bersisa.

" Abang...macamana nak cerita pada adik beradik pasal Uzma ni? Aban....cakaplah....." suamiku masih membisu.

" Tadi, Cik Ellin cakap masih ada masa untuk bantu Uzma. Tapi dia kena pakai alat bantu dengar. Kedua belah pulak tu. Mana nak cari duit? Walau bagaimanapun, abang kena ikhtiar jugak. Ni masa depan anak kita. Tak nak dia ketinggalan walau dia dah tak sama macam orang lain." air mata masih mengalir laju, bila kusebut dan bayangkan perkataan 'tak sama seperti orang lain', makin laju lagi air mata ini.

" Abang telefon Mek dan Ayah, bagitahu apa keputusan ujian tadi. Mesti Mek menunggu-nunggu. Lepas tu bagitahu yang lain juga " 

Abah Uzma nampak lebih tenang dan seperti tiada apa. Kadang-kadang naik geram juga dengan sikap orang lelaki. Macam tiada perasaan. 

Berita ini juga kusampaikan ke kampungku. Mak cuma minta kami bersabar dan redha apa yang Allah telah tentukan. Cuma, mak minta kami bersyukur, sekurang-kurangnya, Uzma tidak sakit terlantar. Masih boleh bergerak aktif seperti anak biasa, tak nampak beza.

Apa yang mak cakap masih tidak berbekas dihati ini. Hati masih terasa hiba dan sedih. Sedih memikirkan nasib Uzma kelak. Sedih memikirkan, telinga Uzma bermasalah. Bermasalah bagaimana, akupun tidak faham maksud sebenar penerangan tadi. 

Kalau anak kami pekak, katakan saja pekak. Tapi bila disebut perkataan bermasalah pendengaran. Banyak persoalan yang bermain di fikiran saat ini. Uzma perlu memakai alat, katanya. Adakah, alat tersebut praktikal untuk Uzma? 

Kemungkinan kami juga perlu belajar bahasa isyarat. Susahnya keadaannya nanti. Satu keluarga perlu faham. Jika tidak, bagaimana hendak berinteraksi dengan Uzma, kelak? Nampaknya segala tumpuan perlu diberi kepada Uzma. Semua jadual belajar anak-anak lain, perlu dirombak, agar sesuai dengan Uzma.

Siapakah yang perlu ku dahulukan nanti? Adakah abah Uzma akan menyokong dan membantuku? Bagaimana jika dia lepas tangan dan membiarkan aku uruskan Uzma sendirian? 

Letih.

Bagaaimana pula dengan kewangan? Mampukah kami? Anak-anak yang masih ramai bersekolah, masih perlu diberi perhatian? Bagaimana hendak menjaga hati semua orang? Sudahlah sekarangpun, masa sudah dipenuhi dengan jadual khusus untuk kakak-kakak dan abang Uzma.

Seminggu dua ini, aku hanya duduk termenung. Buat kerjapun sudah tidak bertenaga. Melihat Uzma bermain sendirian, hati ini bagai dirobek-robek. Pedih hati ini bila mengingatkan nasib Uzma. 

Lebih kurang tiga bulan, hati ini terasa kosong dan kabur. Terasa masih tiada jalan yang kami nampak boleh membantu Uzma. Masa kuhabiskan dengan bertanyakan kawan-kawan dan sahabat-sahabat dari jauh, yang mungkin mempunyai masalah yang sama seperti kami. Tapi semuanya hampa. Semuanya tiada pengalaman mempunyai anak seperti ini.

Suami dan anak-anak seakan mengerti keadaanku saat-saat ini. Aku perlu ruang untuk mencari kekuatan diri. Perlu masa untuk merancang apa keperluan Uzma kelak. Segala persoalan-persoalan ini akan kutanyakan kembali kepada pihak hospital. Mereka perlu ada jawapan untuk setiap persoalan yang bermain difikiranku sekarang.

Semoga semuanya terjawab nanti. Bimbang jika terlupa, aku tuliskan semuanya di dalam buku. Semuanya. 

Satu pagi, abah Uzma menegurku.

" Sudah-sudahlah fikir yang bukan-bukan. Orang hospitalpun belum terangkan lagi pasal Uzma . Dah dengar, bolehlah fikir apa yang patut. Tak pasal-pasal dah sakit kepala memikirkan benda yang belum pasti. Uzma  bukan sakit. Elok saja nampak . Kita sabar dulu. " 

Aku cuma diam  membisu. Apa yang kudengar tadi, seperti angin lalu, tidak berbekaspun. Pada waktu dan ketika ini, aku tak perlukan kata-kata nasihat lagi. Semangatku masih kelaut...

Semua kerja-kerja rumah jadi tertangguh. Memasak bila terasa perlu. Beli sahaja di kedai. Jangan ganggu waktu anginku masih belum tenang.

Hanya Allah sahaja yang kuperlukan saat-saat ini. Doa-doa kupanjangkan sedikit kali ini khusus untuk Uzma dan diri sendiri agar lebih kuat untuk menghadapinya. Aku perlukan kekuatan yang luar biasa untuk hadapi setiap jalan-jalan sukar kelak.

Aku percaya, akhirnya aku perlu pasrah juga dengan ujian ini.

Tidak sabar menunggu tarikh temujanji Uzma yang seterusnya.

Monday, May 27, 2019

DEBARAN DAN AIRMATA

Kami sudah dapatkan surat rujukan dari Klinik Muhamad,  Terus kami ke Hospital Siti Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang terletak di Pantai Batu Burok.  Sampainya kami di kaunter pendaftaran di tingkat bawah, kami perlu naik ke tingkat dua, bahagian Ear, Nose and Throat (ENT). Terus kami dirujuk kepada Audiologis iaitu Pegawai Pemulihan Pendengaran.

Bila giliran kami masuk, kami berjumpa dengan pegawai Audiologis,  Cik Ellin Fariza yang bertugas pada waktu itu. Sebelum itu, kami ditanya berkenaan sejarah kelahiran Uzma . Mereka perlu dapatkan butir-butir terperinci agar setiap permasalahan dapat disahkan dengan tepat.

Uzma dilahirkan secara normal, cuma kelahirannya bermasalah kerana tali pusatnya terbelit di leher. Dia terpaksa diberi bantuan pernafasan dan diletakkan di bawah pemerhatian sehingga keadaanya kembali stabil.

Kami juga tiada keturunan pekak dan bisu. Jadual pelalian imunisasinya juga cukup cuma tidaklah mengikut umur yang tepat kerana isu kesihatannya pada waktu itu. Lambat atau cepat, kami tetap menghabiskan mengikut jadual di dalam buku imunisasi yang setiap bayi wajib ada. Kami sedar betapa pentingnya atau risikonya jika tidak berbuat demikian.

Uzma juga tidak mengalami demam kuning yang lama selepas dilahirkan. Keadaan atau pembentukan telinga juga normal. Tidak pernah dijangkiti apa-apa jangkitan semasa mengandung atau selepas dilahirkan. Tidak pernah juga mengalami jangkitan dalam telinga, samada bernanah atau luka yang lama.

Setelah selesai memberikan butir-butir yang diperlukan, Uzma perlu menjalani ujian Auditory Brainstem Evoked Response (ABR). yang dilakukan sewaktu anak tidur dan diberikan sedatif (ubat tidur) yang ringan. Ujian ini dilakukan oleh Audiologis. Elektrod kecil diletakkan di kulit dan di belakang telinga di kedua belah. Hasil ini akan memberikan gambaran tentang tahap masalah pendengaran bagi setiap telinga.

Siksanya hendak bagi Uzma tidur, walaupun sudah diberikan ubat tidur. Akhirnya setelah bebrapa kali 'struggle', Uzma akhirnya tewas dan lena dipangkuanku. Kupangku Uzma di riba lebih kurang satu jam. Memang lenguk tak terkata meriba Uzma selama itu. Bergerak sedikit , bimbang Uzma akan sedar dari tidur. Setelah selesai, kami cuma menunggu keputusan sahaja.

Tibalah waktu untuk menerima keputusan ujian tadi. Kami dijemput masuk ke bilik Audiologis dan disuruh duduk. Debaran dihati, tak usah cakaplah, memang berdegup kencang. Kami sendiripun tidak dapat menelah apa keputusan tersebut, cuma mengharapkan keputusan itu, yang baik-baik sahaja.

Audiologis menerangkan dengan tenang dan meminta kami menerima keputusan ini dengan redha. Uzma telah didignoskan atau disahkan mempunyai masalah pendengaran jenis sensorineural, yang disebabkan masalah pada koklea. Masalah ini biasanya kekal dan tidak dapat dirawat dengan ubat.

Pada waktu menerima keputusan dari beliau, kami berdua terkedu, tak terkata. Airmata laju je mengalir. Audiologis tersebut membiarkanku menangis tanpa henti. Kami menatap Uzma dengan  paandangan yang sayu. Apalah si kecil ini tahu erti kesedihan ibu bapanya pada dan ketika ini. Fikiranku menerawang ke lain. Segala tutur kata perbualan Audiologis sudah tidak masuk dalam fikiranku lagi. Suami hanya memandang Uzma dengan pandangan kosong...

Kasihan Uzma...

Itulah yang mampu kukeluhkan. Hanya pandangan sayu, kasihan dan kelam.

SOMETHING WRONG SOMEWHERE ( Tajuk sementara)

Kami bukannya tidak peka. Kami bukanlah jenis ibu bapa yang tidak pedulikan perkembangan anak-anak. Jika difikir-fikirkan, bukan sekali dua kami berjumpa doktor untuk bertanyakan tentang kelewatan Uzma bertutur. Semasa tinggal di Kota Damansara, setiap kali mendapatkan pelalian imunisasi, kami akan bertanyakan sekali tentang isu Uzma. Setiap kalipun pertanyaan kami, dijawab dengan jawapan yang sama ;

 " Jangan risau, perkembangan agak lambat sedikit, anak puan kan anak bongsu..."

Bila berhijrah ke Terengganu, kami juga bertanyakan soalan yang sama di klinik di sini. Kamipun dapat agak, doktor akan memberikan respon yang sama, iaitu Uzma akan bertutur juga nanti, cuma agak lewat berbanding kakak-kakak dan abangnya.

Sehingga satu hari,  aruah mak mentua datang menziarahi kami, dan bertanya, adakah Uzma sudah pandai bercakap? Banyak mana perkataan yang dia sudah dapat? Kami berdua saling berpandangan. Kelu tak terkata. Apa alasan yang hendak diberi.

Kami jelaskan apa jawapan kepada persoalan kami selama ini.kepada mak mentua dan pak mentua kami. Bukannya kami tak ikhtiar. Jika doktor sendiri sudah jelaskan dengan yakin, siapakah kita untuk menolak 'statement' doktor, bukan?

Mak mentua tetap menegaskan, jika sepatutnya anak yang berumur tiga tahun, sudah banyak perkataannya. Bukannya hanya dua perkataan sahaja. Terfikir juga kebenaran, apa yang dikatakan oleh mak mentua. Kenapa kami masih bersikap 'tak apa' dan merasakan isu ini masih tidak penting dan serius tidak seperti orang zaman dulu-dulu.

Abah Uzma masih menafikan yang anaknya ada masalah. Dia tetap mengatakan Uzma ok, cuma lambat bercakap seperti yang doktor katakan sebelum ini. Kakak-kakak dan abangnyapun tiada masalah, sudah tentu adiknyapun begitu juga. Sungguh-sungguh dia mempertahankan alasannya itu.

Mak mentua tetap berdegil. Dia minta kami bersiap-siap dan terus ke hospital pakar dan mengesahkan sendiri dengan doktor yang pakar dalam bidang ini.

" Benda seperti ini tidak boleh dibuat main. Jika Aziz tak nak pergi ke hospital, biar Mek je pergi dengan Lah. Hantar saja kami ke sana ", kata mak mentua dengan tegas.

Nak tak nak, kami perlu akur. Cakap ibu, selalunya betul. Tidak salah mencuba. Bukannya rugi bertanya dan mengesahkan apa isu Uzma yang sebenarnya. Terasa kebenaran apa yang difikirkan dek  mak mentua. Dada terasa tidak sedap hati. Selagi tidak tahu apa yang tak kena, selagi itulah, perasaan ini mula membuak-buak ingin tahu.

" Baiklah, kita pergi ke klinik biasa untuk dapatkan surat 'refer' ke hospital ", abah Uzma mengalah.

Kami terus ke Klinik Muhammad dan doktor memahami situasi kami kerana itu bukan bidang kuasa dia. Lebih baik dapatkan pengesahan dari doktor yang berkenaan, katanya.






Sunday, May 26, 2019

SEGALANYA BERMULA DI SINI

Pada tahun 2007, kakak Uzma yang sulung menduduki peperiksaan PMR, manakala yang ketiga pula akan menduduki peperiksaan UPSR. Kakak Uzma yang sulung bersekolah di sekolah agama di  bawah Yayasan Islam Kelantan di negeri Kelantan. Pada masa itu, dua orang kakak Uzma berada di sekolah menengah dan tiga orang bersekolah di sekolah rendah di Terengganu.

Kesibukan dengan urusan dan rutin setiap hari, berulang alik mengambil dan mengantar anak membuatkan diri ini sentiada sibuk. Kelas tuisyen diadakan pada waktu malam, sengaja melibatkan diri bertujuan mencabar diri sendiri dengan setiap isu-isu pembelajaran agar setiap kelemahan anak-anak, dapat diatasi sendiri.

Setiap kali menghantar kakak-kakak ke sekolah, Uzma akan kuangkut sekali. Ke hulu, ke hilir bersama, tidak berenggang sedikitpun. Kuakui, Uzma anak yang baik dan mudah dijaga.

Pada waktu petang, kebiasaannya Uzma akan mengadap televisyen di tingkat atas. Dari dapur, memang dapat kulihat apa yang dibuatnya . Setiap hari, aktiviti bersama Uzma dapat dilakukan dengan baik. Menyanyi, mengira bersama-sama. Setiap anak, akan kuajar perkara yang sama agar tahapnya seperti kakak-kakaknya yang lain.

Abang Uzma pula belajar di kelas tahfiz pada waktu pagi hingga tengahari. Selesai memasak, berkejar ke sekolah Haziq dan mengambil tiga orang kakak Uzma balik dari sekolah.

Masih kuingat, setiap kali mengajar Uzma  mengenal asas huruf dan nombor. Dia akan fokus pada apa yang kuajar. Lebih banyak senyum dan melihat mimik muka kita. Walaupun sekejap, sekurang-kurangnya , matlamatku tercapai iaitu memperkenalkan asas bacaan. Dengan cara itu, harapanku dia akan mula menyebut perkataan-perkataan asas. Itu matlamat utama.

Setiap kali mengajar Uzma menyebut, dia akan cuba meniru dan menyebutnya semula dengan melihat wajahku. Kebiasaannya dia memang suka dengan mimik muka yang sering kutunjukkan setiap kali bermain dengannya. Nyanyian lagu kanak-kanak menjadi lagu rutin kami setiap kali bersama.

Setiap hari turun ataupun menaiki anak tangga rumah, kami akan membilang bersama-sama. Waktu itu perkataan mula-mula yang disebutnya ialah mama dan abah. Dua perkataan keramat tersebut, , seingatku, dia dapat sebut sejak dari umurnya setahun lebih lagi. Sehinggalah umurnya tiga tahun, dua perkataan itu masih kekal cuma tidak bertambah. Tiada perkataan lain lagi sejak itu.




HIDUP ADALAH PILIHAN

Anak adalah anugerah
Anak adalah amanah
Anak juga ujian dari Allah.

Semakin berat ujian, semakin berat dugaan, maka sebesar itu jugalah nikmat pahala yang Allah beri.
Betapa beratpun ujian yang sedang dihadapi, bisikkan pada hati, sabarlah...

Bekerja sendiri dan menjadi suri rumah juga merupakan pilihanku sejak dari mula. Pilihan yang tepat, walaupun faktor kewangan merupakan musuh utama ketika itu. Ujian dan cabaran hidup serta kesusahan hidup tahun demi tahun menjadi cabaran untukku agar setiap pengalaman tersebut menjadi contoh yang baik untuk anak-anak.


Ketujuh-tujuh anak kami, kesemua menyusu badan sepenuhnya.  Inilah nikmat yang sangat bernilai bagi seorang ibu. Mungkin sebab ahli keluarga kamipun memang semuanya memberikan anak-anak susu badan, jadi niatku sejak dari mula ingin memberikan sepenuh perhatian kepada penyusuan untuk anak-anak sendiri.Ini juga merupakan satu pilihan.

 Memberi susu sepenuhnya kepada anak, mengikut ayat Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 233.
“ Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu ; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”

Kami membesarkan anak-anak di kota besar tanpa formula yang khusus, Semuanya hasil dari pemerhatian, bacaan dan sifat suka bertanya. Tiada istilah malu lagi jika ianya demi anak-anak sendiri, dan ianya bukan satu igauan atau permainan yang kita perlu pandang enteng. Silap percaturan, akan hancurlah institusi keluarga yang kita bina atas niat kerana Allah jua.

Oleh kerana kita yang perlu mengejar masa, setiap anak-anak kupantau dengan teliti, samada dari segi agama mahupun akademik serta sahsiah diri. Bohonglah jika kita kata tiada ombak yang melanda dalam proses membimbing anak dan dalam masa yang sama, perlu melayani kemahuan suami.

Hidup kita adalah  pilihan  kita, bukan orang lain. Teguh dan berdirinya kekuatan dalaman bergantung kepada kita yang merencara dan merancangnya. Walaupun kita tahu, yang menentukan kejayaan di dalam sesebuah keluarga tetap datangnya dari Yang Maha Berkuasa.


Thursday, May 9, 2019

BERSUSAH-SUSAH DAHULU

Ilmu itu pelita hidup. Maka jika kita tiada ilmu, tiada pengisian dalam diri, maka hidup kita ibarat seperti tong kosong. Apa yang kita lakukan dalam hidup, ada adab dan peraturan. Saya percaya apa yang kita lalukan perlu ada ilmu. Dari remaja lagi saya suka daan minat membaca. Sebagai anak sulung dari tujuh adik beradik, contoh terbaik sudah tentulah dari anak yang tua sebagai pembimbing. Itu  kutahu dan tak perlu dipertikaikan lagi.

Terasa berat tanggungjawab yang dipikul. Sebagai seorang wanita, terasa diri diperhati dan diawasi. Tidak sanggup melakukan perkara yang mengaibkan diri dan keluarga. Perasaan yang datang dari diri sendiri, tidak perlu diajar dan disuruh, itulah juga yang dituntut dalam agama. Menjadi hamba Allah yang baik dan taat, maka hidup kita akan diberkati dan dirahmati. Itulah ajaran dan didikan dari bekas ustaz kami semasa zaman sekolah dulu. Masih berbekas di hati sehingga sekarang .

Saya percaya, jika kita mempunyai niat yang baik, ingin menjadi hamba yang taat, maka, Allah takkan sia-siakan kita di masa akan datang. Jika kita pandai menjaga diri dan agama, nescaya Allah akan mengawasi dan menyayangi kita. Ujian hidup itu pasti, supaya kita menjadi insan yang lebih baik .

Tetapi, bagaimana kita ingin terapkan didikan ini ke dalam fikiran anak-anak di zaman teknologi serba canggih ini? Adakah mereka boleh menerima cara kita, yang sudah tentu dianggap kolot dan ketinggalan zaman.

Adakah kita sudah bersedia dengan cabaran-cabaran hebat yang bakal kunjung tiba? Adakah kita punya cara, yang boleh menangani sesuatu isu yang berkaitan anak-anak, bila tiba masanya?

Apa yang dapat kufikirkan waktu itu? Apa pilihan yang ada? Fikirkan masa depan anak-anak dan kehidupan kami, hanya dengan berbekalkan ilmu sahajalah penyelamat keadaan di waktu itu. Tiada akses internet yang memudahkan kami seperti sekarang.

Pokok pangkalnya, nak dengan tidak sahaja. Bahan-bahan boleh dicari. Tidak tahu, bertanyalah agar tidak sesat di tengah jalan. Jika dengan cara berbengkel dan keluar mencari ilmu untuk anak dan keluarga, keluarlah dengan fikiran yang terbuka. Kedua ibu bapa sekali. Tidak cukup satu kepala untuk menakluki anak-anak kapal yang banyak aqalnya kelak.

ANAK KITA, AMANAH KITA

Anak-anak kami memang sentiasa kami dedahkan dengan bahan bacaan sejak dari kecil. Sementelah, Uzma merupakan anak bongsu, maka sekian lambakan buku di rumah sudah menjadi makanan harian.  Melihat kakak-kakak yang sentiasa di disiplinkan dengan belajar dan membaca, maka permainan adik beradik tetap dalam timbunan bahan bacaan.

Bilik khas yang disediakan di rumah, penuh dengan rak-rak buku serta majalah pelbagai genre yang disediakan demi anak-anak. Kedai buku menjadi rumah kedua kami anak beranak. Sebahagian besar , wang perbelanjaan bulanan dihabiskan untuk pelaburan ini, semata-mata ingin anak-anak minat membaca.

Bukan semua anak dilahirkan genius. Kami percaya, setiap anak berbeza kepandaian. Oleh sebab itu, kemahiran membaca sangat kami tekankan untuk anak-anak kami kuasai sebelum masuk ke sekolah. Walaupun anak-anak kami hanya belajar di rumah, bukan di tadika, maka kemahiran asas membaca, menulis dan mengira haruslah seiring. kaedah pembelajaran menggunakan kaedah sendiri mengikut keperluan anak-anak. Kemahiran membaca tulisan jawi dan bacaan Al-Quran turut kami tekankan walaupun dari rumah.

Setiap anak tidak mempunyai kemahiran dan kepandaian yang sama. Ada yang cekap megira dahulu, berbanding membaca. Ada yang cepat membaca, lambat pula mengeja. Semua kemahiran perlu seimbang dan sama rata, kerana kami percaya, di sekolah, guru juga mengejar 'dateline'. Pelajar yang ketinggalan, tak mungkin guru dapat beri tumpuan yang saksama. Itulah realiti kehidupan.

Jika anak kita bermasalah, sepatutnya kitalah yang dapat menghidunya terlebih dahulu, bukannya guru. Kita lebih mengenali anak sendiri. Jika anak kita didapati lemah dalam mana-mana mata pelajaran, kita tentu sudah tahu di mana kesilapan dan kelemahannya.

Ada sahabat yang menegur dan tidak setuju dengan cara kami mendidik. Baginya, tugas mengajar, serahkan sahaja kepada guru, kerana itu sudah menjadi pekerjaan dan tanggungjawab mereka. Guru sudah dibayar gaji, untuk apa bersusah payah untuk mengajar anak sendiri?

Pandangan dan pendapat mereka, kami hanya diamkan sahaja, kerana hanya kami sahaja yang mengenali anak sendiri. Anak-anak bagus jika masing-masing memainkan peranan masing-masing. Tugas seorang anak hanyalah belajar dan taat kepada ajaran ibu bapa dan guru. Mudah sahaja. Jika mereka tidak ditekankan betapa susahnya hidup, jika tidak berusaha, alangkah ruginya hidup mereka.

Uzma, tetap kami ajar dan didik seperti kakak-kakaknya, tetapi disebabkan sibuk dengan pelajaran anak-anak yang akan mengambil peperiksaan pada tahun itu, kami anggap Uzma akan dapat menyerap segala maklumat disekeliling dia dengan baik dan mudah. Tiada masalah apa-apa.

Kelincahan dan keletahan Uzma setiap hari, menghilangkan penat dan tekanan kami. Penghibur dikala semua orang sedang lara. Sembilan ahli dalam rumah, dengan sembilan gelagat yang cukup membuatkan kami kebingungan sekali sekala. Uzma tetap menjadi tumpuan kami anak beranak setiap hari. Begitu banyak kasih sayang untuk si bongsu yang sentiasa menceriakan suasana.