Wednesday, April 24, 2019

SEMASA KELAHIRAN

Nur Fathinah Uzma nama yang diberikan untuk anak  ke tujuh kami. Anak bongsu yang dilahirkan ketika usiaku 35 tahun. Ikhtiar yang terakhir untuk mendapatkan anak lelaki kerana kami hanya mempunyai seorang anak lelaki sebelum ini. Walaupun kali ini  Allah anugerahkan kami anak perempuan juga, kami pasrah kerana anak-anak perempuan kami, kesemuanya amat mudah dijaga.

Masih kuingat,pengalaman semasa mengandungkan Uzma juga tiada mengalami masalah dari segi kesihatan,mahupun makan dan minum. Semuanya seperti kandungan-kandungan yang lain, mudah belaka. Tidak sabar menunggu kelahiran kali ini memandangkan jarak dengan kelahiran sebelum sudah tiga tahun. Kami sentiasa  mengharapkan Allah mempermudahkan setiap kali bersalin.

Uzma, panggilan manjanya. Dilahirkan pada tahun 2005 di Putra Medical Centre, Sungai Buloh. Dilahirkan cukup bulan, tetapi semasa dilahirkan talipusat Uzma terbelit mengakibatkan bayi lemas semasa melahirkan. Muka bayipun sudah kelihatan biru dan terpaksa diletakkan dalam pemerhatian doktor.

Masih terbayang, dalam anak matanya masih ada pecahan darah dan mukanya masih kebiruan sedangkan kulit badannya putih melepak. Alhamdulillah, setelah beberapa hari , Uzma sudah boleh balik ke rumah. Berpantang dan berehat dengan ditemani dan dijaga oleh ibuku di rumah sendiri memandangkan anak-anak masih bersekolah. Kebetulan sekolahpun tidak jauh dari rumah kami.

Membesar bersama-sama kakak-kakak dan abang sudah cukup membuatkan hidup Uzma sentiasa dilimpahi kasih sayang yang melimpah ruah. Adik bongsu yang ditatang, dibelai dan dijaga dengan amat sempurna oleh kami. Tiada kekurangan apa-apa.

Perkembangan fizikal Uzma juga berkembang dengan baik sesuai dengan usianya. Tiada cacat cela dimata kami.Oleh kerana setiap perkembangan anak-anak kupantau sendiri dan lebih suka bekerja sendiri di rumah, kami merasakan anak bongsu kami juga seperti adik beradiknya yang lain. Sempurna.

No comments:

Post a Comment