Setiap hari, kakak-kakak tidak sabar menunggu pulang dari sekolah. Suamipun begitu juga. Kami takkan pernah jemu dengan suasana gelak ketawa dan tangisan anak-anak setiap hari. Bukan tidak penat, tetapi kepenatan tersebut akan hilang bila melihat anak-anak penyejuk mata kami yang seramai tujuh orang ini.
Bayangkan setiap kali ke kedai mahupun ke klinik, semuanya kami angkut. Maka, mata-mata yang melirik memandang kami seakan mengira susunan anak yang masih kecil, kadang-kadang membuatkan kami rasa bangga. Tiada perasaan malu sedikitpun. Anak-anak kami amat baik dan tidak nakal, mungkin kerana kami mempunyai ramai anak perempuan. Syukur...
Anak bongsu kami juga amat mudah dijaga. Seperti adik beradiknya yang lain, tiada yang pelik-pelik di mata. Sabar menunggu jika kelaparan, mungkin memahami keadaan mamanya yang sering sibuk dengan segala tugasan rumah dan urusan persekolahan kakak-kakaknya.
Abah Uzma pula bekerja di tengah-tengah kota bandaraya. Seusai solat Subuh, sudah keluar dari rumah, jika tidak akan mengalami kesesakan kerana rumah yang kami beli agak jauh dari tempat kerja. Begitulah rutin dan sibuknya hidup di kota besar.
Untungnya kami kerana masih boleh berbelanja dan membeli barang-barang keperluan di pasaraya berdekatan. Tidak perlu meredah kesibukan dan kesesakan kota yang tiada penghujung. Cuma, realiti hidup di kota, kita perlu rajin berusaha untuk menampung bebanan pasangan untuk hidup selesa.
Dengan tanggungan anak yang ramai, yuran-yuran persekolahan yang menekan jiwa setiap tahun, sudah cukup menyesakkan jiwa dan hati kami. Tambahan pada tahun-tahun sebelum ini, kami perlu membeli buku-buku teks untuk anak-anak kami. Sehinggalah kami berpindah ke Terengganu, kami sudah tidak perlu membeli buku teks lagi. Sedihnya hidup dan keadaan kami yang gaji taraf sederhana sahaja. Bersyukurlah apa yang kami ada daripada tidak...
No comments:
Post a Comment