Wednesday, May 8, 2019

PENGALAMAN HIDUP GURU TERBAIK

16 tahun menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin bukan sedikit kenangan untuk dikenang. Pengalaman, ujian dan cabaran serta pahit getir yang tersimpan menjadikan diri ini lebih kuat dan kebal. Sementelah, ibu bapa dan saudara mara semuanya berada di Pantai Timur.

Hanya berbekalkan kecekalan dan keazaman yang kuat untuk mengabdikan diri di rantau orang. Mengumpul impian untuk menggali seberapa banyak ilmu untuk diri sendiri serta keluarga yang bakal tiba. Menyimpan azam dan cita-cita untuk meningkatkan taraf hidup sendiri dengan kekuatan yang ada dalam diri. Berjanji pada diri untuk bertahan dengan cabaran-cabaran yang Allah beri.

Hari demi hari, mengira bekalan yang berbaki. Dengan kudrat yang ada, kujalani setiap perjalanan dengan harapan yang tinggi. Moga Allah berkati hambaMu yang serba daif dan kerdil ini. Mohon ditunjukkan jalan yang baik-baik serta dipermudahkan segala laluan hidup yang sukar.

Seiring dengan bertambahnya zuriat kami, ilmu yang dikutip melalui bengkel-bengkel dan program yang mendidik jiwa menjadikan perjalanan hidup makin mudah dan terancang. Keputusan untuk tidak bekerja memang kuidamkan dari awal. Pekerjaan hanya sementara, menunggu masa yang sesuai untuk berhenti dan memulakan tugas yang hakiki di rumah.

Seronok menjadi suri rumah, hanya kita yang mengalami sahaja yang tahu. Tiada istilah malu dan perasaan rendah diri kerana kita tahu sejauh mana kemampuan kita untuk menjana pendapatan sendiri di rumah. Berbekalkan ilmu yang ada, apa salahnya kita mencuba apa sahaja yang berada di ruang mata, asalkan tidak mengabaikan tanggungjawab yang ada serta tujuan kita yang sebenarnya.

Sentiasa menunggu-nunggu peluang yang ada untuk menuntut ilmu seterusnya mempraktikkannya di rumah. Kehidupan rumah tangga tempat untuk kita bereksperimen sementara anak-anak masih kecil. Kesabaran dan ketegasan kita untuk terus hidup dengan baik dan teratur bukanlah kebetulan, tetapi apa yang kita rencanakan atas kehendak dan keizinan Allah jua.

Tiada yang lebih baik dan indah selain pengalaman mendidik anak sendiri dan membayangkan perjalanan yang bakal tiba dengan persediaan yang ada demi mengubah nasib diri dan keluarga.

No comments:

Post a Comment