Berhijrah selepas enam belas tahun menetap di Kuala Lumpur bukan suatu perkara yang mudah untuk difikirkan. Tambahan pula, kelas tuisyen yang telah beroperasi selama sepuluh tahun berjalan dengan baik. Pelajar semakin bertambah sedangkan kami sudah mula mahu berhijrah. Sayangkan pelajar-pelajar yang masih memerlukan sentuhan dari diri ini. Rindukan hubungan erat sesama ibu pelajar.
Perhubungan erat antara kami terjalin sehingga sekarang. Rata-rata pelajar yang datang, dari kelas belakang. Yang memerlukan sentuhan peribadi, sentuhan kasih sayang persis seorang ibu. Penguat semangat untuk mereka untuk terus belajar dan berusaha sehingga jaya. Walaupun pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi, kelas-kelas masih berjalan dengan amat baik. Kepercayaan secara 'total' yang diberi, tidak kusia-siakan. Yang penting dapat menjayakan dan membuktikan pelajar kelas belakang juga mampu jadi hebat dan berjaya.
Sayang meninggalkan bumi Kuala Lumpur kerana di situlah juga lubuk ilmu dan segala-gala maklumat. Menangis juga saat meninggalkan jiran-jiran tercinta. Rumah yang dibeli, terpaksa ditinggalkan demi mengikut suami tercinta.
Berpindah ke bumi Terengganu, Darul Iman. Sesuatu yang tak pernah kuimpikan. Bersyukur juga negeri ini masih terletak di sebelah Pantai Timur. Berdekatan dengan orang tua. Penghijrahan yang tidak sia-sia juga. Harapan agar dapat berbakti di Terengganu dengan lebih baik walaupun mungkin nasib tidak seperti di Kuala Lumpur.
Kami menetap di Terengganu pada tahun 2007. Pada masa itu, Uzma berumur tiga tahun. Anak yang sulung akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah, (PMR) manakala anak yang ketiga pula menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, (UPSR). Betapa bingungnya kami pada masa itu memandangkan baru menetap di sini dan anak akan menduduki peperiksaan yang penting. Yang sulung pula bersekolah di Kelantan dalam aliran agama.
Kelas di Terengganu mula beroperasi dengan bantuan dari mulut ke mulut sahaja. Sebaran dari Kuala Lumpur mula merebak ke Terengganu. Jadi, rutin harian tetap sibuk dengan kelas-kelas untuk pelajar baharu. Anak-anak mula berkawan bermula dari kelas di rumah.
Rumah yang disewa merupakan rumah dua tingkat. Agak besar dan sesuai untuk kami yang mempunyai keluarga yang ramai. Selesa, walaupun tingkat atasnya hanya dari papan. Mengambil masa juga untuk berkenalan dengan jiran-jiran berdekatan memandangkan kami sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak serta kelas di waktu malam. Pada hari minggu, kami akan pulang ke Kelantan menemui ibu bapa tercinta. Jika tidak ke kampung, hari minggu yang ada, akan ku isi dengan menyertai kursus dan bengkel di mana-mana, walaupun di Kuala Lumpur, bukan satu halangan besar untukku.
Besarnya pengorbanan suami dan anak-anak sejak dari mula-mula lagi. Wang ringgit dan penat lelah sudah tidak kuhiraukan, asal ilmu bantu dapat ku genggam. Mula berbengkel sewaktu anak sulung belajar di tadika lagi. Sejak dari itu, tiada yang dapat menahan diri ini dari meneroka segala bidang yang berkaitan terutamanya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Uzma sudah biasa kutinggalkan dengan abahnya dan setiap bulan, samada perjalanan berkursus menggunakan perkhidmatan bas ataupun dengan menaiki kapalterbang. Jika kebetulan bercuti, suami akan menghantar sendiri dengan menaiki kereta.
Penat berbengkel tidak menghalang dan memudarkan semangat diri, memandangkan anak-anak mulai membesar dan terasa diri ini tiada ilmu yang boleh membantu, seiring dengan perkembangan setiap anak.
Semoga ilmu yang dikutip memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan. Itu sahaja impian dan harapan yang terpendam. Semoga Allah restu dan menunjuk jalan.
No comments:
Post a Comment